HARMONI’16: MEMBUMIKAN GAGASAN KAMPUS HARMONI DALAM PERJUANGAN

SHAH ALAM – Pada 3 Disember 2016, IKRAM Siswa telah menganjurkan Konvensyen Mahasiswa Harmoni 2016 (HARMONI’16) bertempat di TSR Conference Hall di sini yang dihadiri kira-kira 1,000 orang mahasiswa dari seluruh Malaysia, dengan mengangkat tema “Membumikan Gagasan Kampus Harmoni Dalam Perjuangan”.

Sesuai dengan tema tersebut, Ucapan Dasar oleh saudara Marwan Abdullah, Presiden IKRAM Siswa telah mengumumkan bahawa IKRAM Siswa akan bertukar kepada sebuah wadah baru iaitu Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) sebagai memenuhi tuntutan utama membumikan Gagasan Kampus Harmoni.

Menurut beliau, Harmoni yang telah diterima pendaftarannya oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Mei 2016 sedang dalam proses penubuhannya bermula daripada peringkat Cawangan, Daerah, Negeri dan Pusat di bawah pimpinan saudara Muhammad Fikri Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Harmoni Pusat.

“Sebaik sahaja penubuhan Harmoni di semua peringkat selesai, Harmoni akan menggantikan IKRAM Siswa sebagai platform mahasiswa yang akan mengangkat tema perjuangan Gagasan Kampus Harmoni dengan lebih meluas,” jelas Marwan.

Dialog IKRAM Siswa, forum dan pidato Ustaz Taufiq Ridho

HARMONI’16 merupakan konvensyen kali kedua dianjurkan IKRAM Siswa setelah pertama kali menganjurkannya pada 21 Mac 2015 di Dewan Sri Sarjana, UNITEN Kajang dengan jayanya.

Objektif utama HARMONI’16 kali ini ialah untuk membahaskan lagi perjuangan Gagasan Kampus Harmoni dengan lebih mendalam agar ianya dapat dibumikan dengan sebaik-baiknya dalam perjuangan mahasiswa.

Gagasan Kampus yang mula diperkenalkan IKRAM Siswa dalam HARMONI’15 menekankan bahawa terdapat lapan (8) ciri yang perlu dicapai ke arah mencapai sebuah Kampus Harmoni iaitu:

1. Gaya hidup warga kampus yang sihat, mesra dan berakhlak;
2. Warga kampus yang bebas bersuara dan diiktiraf;
3. Pentadbiran kampus yang cekap dan berintegriti;
4. Pengamalan budaya politik nilai dalam pilihanraya kampus;
5. Penyuburan budaya ilmu dan intelektualisme;
6. Penghasilan mahasiswa berkualiti, berkepimpinan dan berdaya saing;
7. Kampus selamat, berkebajikan dan mesra mahasiswa; dan
8. Peranan kampus dalam isu-isu masyarakat, negara dan antarabangsa diiktiraf.

Dalam ucapan perasmian konvensyen oleh Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang bertajuk “Peranan IKRAM Siswa dalam Membina Negara Rahmah”, beliau telah menegaskan akan kepentingan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam membina masyarakat dan tidak mengehadkan aktivisme setakat dalam kampus sahaja.

Pada sebelah petang, HARMONI’16 diteruskan dengan forum bertajuk “Gagasan Kampus Harmoni: Solusi Kebejatan Siswa” yang dipengerusikan oleh Saudari Nurul Nadhirah Md Ridzuan Ketua Siswi IKRAM Siswa Hulu Langat.

Panelis bagi forum tersebut ialah Muhammad Fikri, Saudari Nur Qhairun Nabila Hussin (Ketua HARMONI UM) dan Prof Madya Dr Tengku Shahrom Tengku Shahdan (Ahli Akademik dan aktivis MYCARE).

HARMONI’16 turut berjaya menampilkan kehadiran tokoh dari luar negara demi membuka lagi minda aktivis IKRAM Siswa dengan pidato Ustaz Muhammad Taufiq Ridho, mantan Setiausaha Agung Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Indonesia yang bertajuk “Membangun Mahasiswa Negarawan”, yang menegaskan perlunya mahasiswa mempunyai tamayyuz ruuhiy dan tamayyuz ‘ilmiy(keistimewaan rohani dan ilmu) tanpa menafikan peranan antara satu sama lain.

Pada sebelah malam pula, HARMONI’16 diteruskan dengan Konsert “Humanity Concert: We Care” yang dianjurkan bersama dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang bertujuan untuk menyampaikan mesej-mesej kemanusiaan kepada para mahasiswa dalam bentuk yang lebih santai dan mendidik jiwa.

Dengan kehadiran kumpulan Nasyid Mirwana yang telah menyampaikan tiga buah lagu iaitu “Itu Ini Begitu Begini”, “Khalifah Pertama” dan ‘Manifestasi Cinta’, konsert ini juga turut menampilkan kumpulan nasyid anak muda Zeyad yang telah melancarkan single terbarunya berjudul “Srikandi Besi” yang mengambil inspirasi daripada pengalaman penuh getir dua srikandi yang berlayar merentasi Laut Mediterranean dalam misi Women’s Boat to Gaza (WBG).

Pada hujung konsert, pengacara majlis telah mengumumkan jumlah kutipan berjumlah RM1,500 yang akan disumbangkan oleh HARMONI’16 kepada MyCARE untuk aktiviti-aktiviti kemanusiaan, selari dengan ciri kelapan Gagasan Kampus Harmoni iaitu peranan kampus dalam isu-isu mahasiswa, negara dan antarabangsa hendaklah diiktiraf.

HARMONI’16 juga telah menyaksikan beberapa anugerah telah diberikan khusus sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan IKRAM Siswa terhadap aktivis IKRAM Siswa dan IKRAM Siswa Cawangan yang telah berjaya mencapai piawai kecemerlangan yang telah ditetapkan. Anugerah-anugerah tersebut ialah:

A) Kategori Individu:
Tokoh Siswa: Muhammad Miqdam Mohd Rashid 
Tokoh Siswi: Nurul Nadhirah Md Ridzuan

Tokoh Akademik:        :
1. Mohamad Anas Mohamad Yaakub (KUIN)
2. Mohd Khairul Nizam Suhaimin (UTEM)
3. Nurul Fatihah Amir (UNIMAS)
4. Muhammad Syah Fahmi Zainal (UPM)
5. Ahmad Luthfi Ahmad Azhari (UniMAP)

Tokoh Aktivis: Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Tokoh Dakwah: Raja Ahmad Kamil Raja Sulaiman
Murabbi Contoh: Mohamad Khairulanuar Mohd Isa
Murabbiah Contoh: Nurul Nadhirah Md Ridzuan

B) Kategori Cawangan:

Terbaik Keseluruhan: Universiti Malaya (UM)
Terbaik Aktivisme: Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Terbaik Politik Kampus: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai
Terbaik Dakwah: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat
Terbaik Perhubungan: Sabah
Terbaik Media: Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Terbaik Kepimpinan: Universiti Malaya (UM)
Terbaik Organisasi: Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Terbaik Tarbiah: Perlis

C) Kategori Khas:
Cawangan Laporan Terbaik: Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Anugerah Pahlawan: Jufazli Shi Ahmad

Menurut saudara Amir Syafiq Alias, Naib Presiden IKRAM Siswa, penyampaian anugerah-anugerah ini adalah amat penting untuk menonjolkan contoh-contoh yang boleh diteladani oleh bukan sahaja ahli IKRAM Siswa, tetapi kesemua mahasiswa, insya Allah.

 

Kredit: Marwan bin Abdullah

Share Button