RAMADAN : Abaikan ‘Haters’ Dan Jalan Terus

Abdul Halim Hazwan bin Jamaludin JK Akademik dan Intelektualisme Ikram Siswa Nasional

Abdul Halim Hazwan bin Jamaludin
JK Akademik dan Intelektualisme IKRAM Siswa Nasional

Ramadhan ini bulan Allah melimpahkan rahmat Dia lebih daripada biasa.

Kalau kita pernah dengar hadis tentang fadilat ibadah-ibadah seperti solat sunnat sebelum subuh, solat subuh & isyak berjemaah, mesti kita rasa sangat-sangat lega bila tahu Ramadan datang.

Syaitan dibelenggu, amalan sunnat dinaik-taraf ganjaran menjadi amalan wajib. Amalan wajib dinaik-taraf 70 kali ganda.

Ramai lega. Ramai gembira. Ramai jadi tak keruan.

Kalau anda antara golongan di atas, syukur sangat-sangat. Moga Ramadan ini membawa seribu satu makna bagi anda.

Cuma dalam keghairahan kita meraikan ramadhan, mungkin saja wujud golongan yang keluar daripada bulan ini dengan keadaan yang lebih teruk daripada sebelumnya.

Siapakah mereka?

Terlalu Negatif Terhadap Diri Sendiri

“Masuk Ramadan ni, ramai yang azam nak buat amalan berganda-ganda. Semasa minggu pertama tilawah 5 juzuk sehari, solat terawih 20 rakaat, qiyamullail setiap malam. Minggu kedua semua terus stop. Tak larat.”

“Ini kerana mereka lupa yang nak pergi full gear kena la masuk low gear dulu. Lepas dah masuk gear satu, gear 2. Lepas gear 2, gear 3. Dah ada momentum baru la kita pecut!”.

Saya selalu dengar perumpamaan ini diberi ketika ceramah-ceramah berkaitan persiapan ke arah Ramadan. Jujur, saya mengikuti nasihat ini dalam merangka perancangan ibadah sepanjang bulan yang mencabar ini.

Manusia yang memasuki bulan Ramadan ni ada banyak jenis. Ada yang sedar sejak tahun lepas lagi dan sejak itulah juga mereka bersedia. Ada yang sedar sejak bulan syaaban lagi setelah mendengar imam membaca doa “Allahumma bariklana fi syaaban wa ballighna Ramadan”. Sejak itulah mereka bersedia.

Ada yang seminggu nak masuk Ramadan sedar lepas dengar perbahasan tentang status berpuasa pada minggu akhir syaaban. Sejak itulah juga mereka bersedia.

And then kita ada satu lagi golongan yang waktu malam itulah dia sedar esok puasa. Malam tu jugalah selepas penuh newsfeed dengan status Ramadan baru terbakar dalam diri dia semangat nak beribadat.

Golongan ni saya risaukan kerana apabila mereka melalui Ramadan yang agak berbeza rutinnya, mereka mula fikir dua kali kewajaran perancangan mereka untuk beribadat sepertimana dalam fikiran mereka pada malam pertama Ramadan.

Cuba anda fikir jika nasihat yang saya nyatakan diatas disebut kepada mereka?

“Hmmm. Kalau macam ni, memang aku tak boleh nak buat apa-apa sangat lah bulan ni. Aku tak bersedia daripada awal.”

Daripada menjadi seorang yang ada kesedaran dan azam untuk menambah baik ibadah mereka, terus dalam sekelip mata mendengar ‘nasihat’ itu mereka berundur belakang.

“Ramadan ni aku tak dapat nak capai apa-apa.”

“Ramadan ni aku hanya dapat buat ala kadar.”

Paling mengkhuatirkan;

“Ramadan aku kali ni tak bermakna”.

Meraikan dan Mencipta Suasana

Ini hanya satu contoh daripada pelbagai contoh bagaimana peluang yang Allah buka luas bagi hambaNya untuk membaiki diri punah kerana tindakan hamba-hambaNya yang lain yang berniat baik.

Atau lebih merisauakan andai wujud satu golongan yang berpendapat bulan ini ialah bulan untuk menapis golongan yang bertaqwa dan golongan yang fasik, munafiq & zindiq.

Moga masyarakat Muslim kita di Malaysia tidak dicorak oleh golongan-golongan sebegini.

Saya masih ingat hadis yang kita diperingatkankan selalu tentang ikhlas dalam beramal.

Pada hari kebangkitan nanti akan dibangkitkan 3 jenis manusia yang, pada pandangan zahir, merekalah contoh individu yang berjaya. Seorang ialah seorang yang Alim, seorang ialah seorang yang berharta yang suka menderma, seorang lagi ialah seorang pejuang di jalan Allah.

Mereka semua dihadapkan di hadapan Allah, menjangkakan mendapat habuan syurga.

Tetapi yang disebaliknya berlaku. Mereka dicampak masuk ke dalam neraka. Bukan kerana mereka pembuat maksiat besar.

Mereka masuk neraka kerana amalan-amalan yang mulia mereka laksanakan mendahagakan perhatian manusia.

Ada banyak pengajaran dalam kisah ini. Apabila saya merenung hadis ini, saya menginsafi satu ciri manusiawi kita. Kita sangat-sangat dipengaruhi persepsi manusia dan mendahagakan persepsi manusia. Samada kita seorang alim, peniaga yang bermurah hati atau pejuang di jalan Allah, kita sangat terdedah kepada persepsi manusia.

Menyedari hakikat ini, kita sebagai komuniti Muslim perlu menyelia ciri ini dengan baik.

Apa yang kita sebut akan mempengaruhi perasaan saudara-saudari muslim kita yang lain. Apa yang kita tulis mampu membentuk sikap saudara-saudari kita. Apa yang kita anjurkan, bagi ‘likes’, share akan mempengaruhi persepsi saudara-saudara kita.

Oleh itu, Ramadhan ini, ayuh kita raikan ciri ini dan cipta suasana yang membangkitkan perasaan kita untuk beramal.

Ini waktu kita saling memberi semangat, bukan mencantas keterujaan.

Ini waktu kita merasa pesta, bukan waktu menjatuhkan hukuman dan memenjarakan manusia daripada menyambut Ramadan.

Ajak kawan-kawan, adik-beradik, ayah ibu, anak-anak, isteri, suami menjalankan ibadah.

Tidak kira siapa anda, Ramadhan ini untuk kita penuhi.

Abaikan haters, jalan terus.

 

 

Share Button