KESOLEHAN RITUAL LAHIRKAN KESOLEHAN SOSIAL

Amir 'Izzuddin bin Muhammad

Amir ‘Izzuddin bin Muhammad JK Pembelaan Antarabangsa IKRAM Siswa Nasional

Al-Harith al-Muhasibi berkata:

“Saudara-saudaraku apabila orang membaca al-Quran untuk mendapat pahalanya,
maka ketahuilah tunjukkan kehendak dengan bacaan kamu
untuk tadabbur dan iktibar darinya.”[1]

 

Mungkin ramai Mahasiswa yang tidak sedar. Masa berlalu begitu pantas. Ya terlalu pantas sehingga manusia alpa Ramadan sudah tiba. Sewaktu penulis mengarang artikel ini, sudah 24 kali Ramadan berlalu dalam hidup penulis. 17 Ramadan 1438. Pantas sungguh masa.

 

PENURUNAN AL-QURAN DARI LANGIT

Setibanya 17 Ramadan setiap tahun, pastinya Muslim di Malaysia akan menyambut perayaan Nuzul al-Quran. Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.[2] Al-Quran pula bermaksud kalam Allah yang merupakan mukjizat, yang diwahyukan kepada Rasul Allah saw melalui perantaraan Malaikat Jibril as., diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas, diriwayat secara mutawatir serta membacanya termasuk ibadah.[3] Ringkasnya, Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah, sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.[4]

 

EGOSENTRIK? PENTINGKAN DIRI?

Seperti penulis lain, setiap penulisan pasti bermula dengan persoalan akar, yang menjadikan isi artikel mula mencapah. Tanya penulis, “apa erti Ramadan tahun ini?”. Setiap Muslim yang melalui Ramadan pasti mahu memaknakan Ramadan. Tanyalah sesiapa pun, pasti jawapan mereka sekitar mahu menjadi manusia yang paling beruntung, yang menghidupkan ibadah setiap detik dalam Ramadan. Namun, mengapakah ibadah yang dilakukan seringkali bersifat egosentrik dan pentingkan diri sendiri? Sedarkah kita wahai Mahasiswa? Kita mahu ke syurga tetapi seorang diri. Hairan. Bukankah sepatutnya kesolehan ritual melahirkan kesolehan sosial?

 

Ya. Kita sangat sibuk. Sangat sibuk berkongsi juadah apa yang dibeli di bazaar, lauk apa untuk berbuka, terawih di masjid mana, persiapan itu dan ini sehingga terlupa akan golongan miskin, tertindas, gelandangan, yang wujud dalam komuniti kita. Kita sangat sibuk sehingga tidak sempat memikirkan hal mereka. Bukankah antara pesanan terbesar Ramadan adalah untuk mengingati golongan miskin yang bersusah payah menyara hidupnya?

 

Selain itu, apakah falsafah disebalik galakan bersedekah di bulan Ramadan? Mengapa Rasul Allah saw sangat pemurah ketika Ramadan? Tanya diri kita, mengapa berbuka dengan kurma itu sunnah? Mengapa tidak berbuka dengan kambing mungkin? Apa falsafah disebalik itu? Tanya lagi, adakah saat kita berbuka, masih ada insan lain yang tidak punya makanan untuk berbuka? Yang mungkin telah pun ‘berpuasa’ lebih awal dari kita? Mengapa kita beli makanan sehingga membazir?[5] Tanya diri, Tanya iman. Kenapa hanya fikir diri sendiri sahaja? Tanya.

 

TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN

Sempena Nuzul Quran, mari kita mengambil semangat al-Quran. Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”[6]

 

Berdasarkan dalil di atas, tujuan al-Quran itu jelas. Al-Quran itu menghadirkan segala faedah dan manfaat yang sememangnya terlalu banyak untuk dikongsikan sini. Manfaat dan faedahnya bukan hanya dirasakan manusia bahkan seluruh alam cakerawala turut mendapat manfaatnya. Pastinya, segala isi al-Quran bukan sebagai penjenamaan mahupun menjadi hujah kerana nafsu duniawi, tetapi nilai-nilainya seperti rahmah, keadilan, menolak kezaliman, menjaga nyawa, membantu yang lemah perlu dibumikan agar matlamat, prinsip dan maqasid yang sesuai dengan kemanusiaan tercapai.

Demikian al-Quran hadir merubah nasib manusia. Hadir menghidupkan peradaban manusia. Membangunkan hidup manusia. Mendidik manusia agar berakhlak mulia dan menolak kezaliman. Mendidik manusia agar tidak pentingkan diri serta menyeru ke arah perpaduan sejagat. Ini terbukti melalui wahyu pertama Surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 yang menekankan perihal pendidikan melalui pembacaan sekaligus integrasi tauhid sebagai sumber segala ilmu pengetahuan. Inilah yang dimaksudkan “soleh ritual melahirkan kesolehan sosial”. Beribadah dalam ruang lingkup tidak syok sendiri, di samping memahami dan membantu insan lain yang mungkin menghadapi kesusahan seperti tiada makanan, tiada tempat tinggal serta lain-lain keperluan. Secara umumnya, al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan.[7] Antaranya:

 

  1. Mentashihkan akidah, sudut pemikiran berkaitan ketuhanan, kerasulan dan pembalasan.
  2. Mentaqrirkan kemuliaan insan, hak-haknya terutama di kalangan yang daif dan tertindas.
  3. Menyeru kepada pembersihan jiwa manusia.
  4. Membentuk keluarga solehah dan pemberian hak wanita.
  5. Membina ummah yang menjadi saksi kepada kemanusiaan.
  6. Dakwah dan menyeru kepada alam insani yang bersifat tolong menolong dan kerjasama.

 

KESIMPULAN

 

Kita perlu kembali kepada al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Bacalah al-Quran. Jangan sesekali biarkan ia menjadi tempat mengumpul habuk Al-Quran tidak turun saja-saja tanpa sebab. Ia diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia. Bahkan antara nilai yang terpenting, Islam menganjurkan perpaduan dan kesatuan serta bertaaruf antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah begitu ampuh sesama manusia. Kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna :

 

 

“Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah sumber yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.”[8]

 

Akhir sekali, marilah kita Mahasiswa menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi. Inspirasi untuk terus memaknakan Ramadan. Inspirasi untuk terus membumikan nilai-nilai al-Quran. Inspirasi untuk menjadi qudwah hasanah. Inspirasi untuk memperbaiki diri sekaligus membaiki masyarakat sosial. Inspirasi untuk bersatu hati serta bertoleransi antara satu sama lain agar kita semua mencapai kebahagiaan abadi. Inspirasi untuk membangunkan negara memacu perubahan sekaligus menjadi negara rahmah, iaitu negara yang harmoni aman makmur serta diampuni Tuhan.

 

Wallahu’alam.

 

 

[1] Bayan Linnas, “Nuzul al-Quran dan Perpaduan Ummah”. http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/610-nuzul-al-quran-dan-perpaduan-ummah.

[2] Ibid.

[3] Sejarah al-Quran. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_al-Quran.

[4] Op. cit.

[5] Astro Awani, “Rakyat Malaysia buang 8,000 tan makanan sehari”. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rakyat-malaysia-buang-8-000-tan-makanan-sehari-140865

[6] Al-Quran. As-Sad: 29

[7] Op. cit.

[8] Bayan Linnas, “Nuzul al-Quran dan Perpaduan Ummah”. http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/610-nuzul-al-quran-dan-perpaduan-ummah.

Share Button