MOTO

10321766_732582586800444_2178519161079053324_o (1)

“Akhlak | Khidmat | Ukhuwah”

Akhlak – Tarbiah merupakan asas yang amat penting bagi IKRAM Siswa. Ia merupakan nadi yang membentuk peribadi muslim setiap ahlinya. Namun, manifestasi tarbiah ini hanya boleh dilihat melalui peribadi-peribadi ahli IS yang mempunyai akhlak yang tinggi. Peribadi yang mempunyai akhlak yang luhur inilah yang akan mampu menyentuh setiap manusia melalui percakapannya, tindakannya, hubungannya sehingga mereka sendiri ingin menjadi seperti ahli-ahli yang di tarbiah. Oleh sebab itu, akhlak menjadi elemen utama bagi IKRAM Siswa sebagai modal untuk menyantuni masyarakat kampus secara khususnya dan masyarakat lain secara umumnya.

Khidmat – sebagai memanifestasikan maksud tarbiah, IKRAM Siswa mahukan ahlinya untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada semua manusia dalam kerangka dakwah. Khidmat juga merupakan manifestasi prinsip asas Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. IKRAM Siswa mahu menjadi satu organisasi yang melahirkan mahasiswa yang sentiasa bersiap sedia berkhidmat kepada setiap lapisan manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Ukhuwah – Kesatuan merupakan faktor penting dalam mencapai kemenangan. Tidak mungkin mana-mana kumpulan mampu berdiri kukuh tanpa ada kesatuan kerja yang baik. Bagi IKRAM Siswa, kesatuan kerja itu amat penting dan ia perlu didasari semangat ukhuwah yang asasnya adalah iman itu sendiri. Selari dengan tuntutan Al-Quran,

“Berpegang teguhlah kalian semua dengan tali Allah dan jangan bercerai-berai..”

(3:103).

Dengan ketiga-tiga elemen ini, IKRAM Siswa tekad berusaha untuk membina peribadi mulia yang mementingkan akhlak yang baik, memberikan khidmat terbaik dalam masyarakat yang pelbagai dan membina hubungan ukhuwah sesama ahli dan juga masyarkat yang disantuni agar hasrat mengharmonikan sistem Islam berjaya dicapai.

Semoga Allah redha dengan setiap ‘amal kita.

Share Button